CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Saturday, 21 January 2012

ENJIN KERETA DIMASUKI AIR

Enjin Kereta Dimasuki Air
Bagi anda yang tinggal di Kuala Lumpur, banjir kilat adalah antara perkara ‘menakutkan’ bagi pemilik kenderaan. Ketika anda sibuk di pejabat, tanpa disedari kereta anda sudah ditenggelami banjir akibat hujan lebat yang berterusan.

Apabila ini berlaku, ia pasti membabitkan kos baik pulih yang tinggi. Namun kos berkenaan dapat dikurangkan jika tip ini dapat diamalkan. Jika keseluruhan kereta dan bahagian enjin tenggelam, periksa kereta anda selepas banjir surut. Jangan sekali-kali menghidupkan enjin kereta kerana ia akan mengakibatkan anda terpaksa membayar kos yang berlipat ganda. Tindakan ini selalunya dilakukan oleh ejen bengkel atau pemilik trak penunda yang tidak bertanggungjawab supaya anda membayar kos yang lebih tinggi untuk membaikinya. Ini kerana apabila enjin cuba dihidupkan dalam keadaan demikian, aliran elektrik akan mengalir ke dalam semua sistem elektronik enjin termasuk kotak komputer (untuk kereta suntikan elektronik). Sekiranya masihada saki-baki air dalam alat berkenaan, litar pintas boleh berlaku dan alat itu terpaksa diganti.

Tindakan berkenaan boleh menyebabkan semua sensor yang menyalakan suis enjin akan terbakar. Harga sebuah sensor tidaklah mahal, tetapi kesan daripada sensor yang tidak berfungsi itu boleh menyebabkan kos yang berlipat ganda.

Apabila tiba di bengkel, buka keseluruhan kereta anda termasuk penutup alat elektronik. Palam pencucuh juga perlu diperiksa dan pastikan ia tidak berair. Minyak enjin juga perlu diperiksa sama ada ia tercampur dengan air atau tidak. Begitu juga dengan petrol. Selepas kesemua peralatan elektronik kering sepenuhnya (kebiasaannya dua hingga tiga hari), enjin boleh dihidupkan tetapi tidak perlu digerakkan kerana kotak gear belum diperiksa.

Sekiranya enjin boleh dihidupkan, kosnya tidaklah begitu mahal. Jika sebaliknya, ia mungkin boleh mencecah ribuan ringgit. Kemudian minyak kotak gear perlu diperiksa. Dalam keadaan biasa ia akan berwarna merah tetapi jika bercampur dengan air, warnanya akan bertukar kepada merah jambu. Jika bercampur air, minyak gear perlu ditukar dan enjin perlu dihidupkan dalam masa dua hingga lima minit. Kemudian, minyak kotak gear diperiksa sekali lagi dan ulang proses ini sehingga ia betul-betul menjadi warna merah dan tidak lagi bercampur dengan air. Biasanya proses ini perlu diulang sehingga lapan kali dan akan menggunakan lebih kurang 15 hingga 20 liter minyak kotak gear.
Sekiranya tiada kerosakan yang membabitkan peralatan elektronik, kos mungkin hanya membabitkan upah mekanik, minyak enjin, minyak kotak gear dan beberapa peralatan yang sensitif kepada air seperti penapis udara.

No comments:

Post a Comment